Jumaat, 18 April 2008

Pesan Pak Det

Pak Det sedang rancak berbual.

Pagi ni sempat saya bersarapan seawal jam 8 pagi. Dah lama rasanya tak berbual dengan Pak Det (Mahadhir); tukang kebun kolej saya yang saya panggil pakcik ni. Berumur 62 tahun. Bekerja sebagai pelengkap kesihatan badan katanya. Anak-anaknya alhamduliLlah berjaya, malah seorang darinya bekerja di Dubai dan menghantar setiap bulan USD2k kepada beliau.

Dari pandangan mata beliau, saya sudah dapat membaca keikhlasan kata-kata. Biasanya saya hanya sempat bersarapan bersama beliau pada hari jumaat sahaja kerana kebetulan, jumaat saya masuk kerja awal.

Pagi ini setelah lama berbual, masuk la kami ke perbualan ilmiah. Itu yang saya hormat betul kepada Pak Det. Hari ni topik kami ialah antara pujian dan memberi penghargaan. Saya mulakan dengan menghulur topik dengan pesan nabi SAW yang pernah mengatakan manusia sukakan pujian, tapi jangan meminta pujian. (al-Madh antara topik panjang seperti yang dibincangkan oleh al-Ghazali dalam Ihya). Bermulalah satu demi satu hujah seorang tua yang amat saya hormati.

Kata beliau, manusia semulajadi memang senang dipuji. Oleh itu pujilah orang dengan senyuman. Itulah pujian yang paling mudah. Orang yang susah senyum, susah rezekinya kata Pak Det (kebetulan dia juga orang kedah). Ada orang tinggi pelajarannya tapi tak berilmu. Wah, falsafah tu. Saya ajak lagi Pak Det bicara. Dia kata hari ni ramai orang belajar, tapi ramai orang tak berilmu. Patutnya lagi belajar lagi berilmu. Dia bercerita dengan kejadian seorang peguam muda di kampungnya (kg. Dacing, Beranang) yang menempelak imam yang mahu menikahkannya dengan menyatakan lafaz taklik/ khutbah nikah adalah adat kuno (kebetulan juga saya kenal imam tu). Saya dapat rasakan situasi ketika itu.

Berpelajaran tak semestinya berilmu. Itu analogi rumusan saya perbualan 20 minit pagi ini. Saya tambah sebelum beredar kepada Pak Det, berpelajaran tak semestinya berilmu dan berbudi. Pesanan Pak Det kepada saya untuk rajin senyum sebagai pujian kepada orang lain akan saya amalkan. Rupanya itu rahsia Pak Det murah rezeki walaupun rasa kasar tangan seorang tukang kebun ini.

Nanti kita bergebang lagi ye Pak Det? Sebenarnya Pak Det menutup perbualan kami pagi tadi tentang ego. Ego untuk memohon maaf. InsyaAllah, saya akan berbual lagi dengannya. Mungkin ada isu di sebalik ungkapan itu.

hafiszi(at)gmail(dot)com.

Tiada ulasan: