Sabtu, 24 Januari 2009

Selamat Pengantin Baru Masrina!!

Pasangan dua sejoli sangat segak sedang berarak masuk.

Antara gD's yang hadir hari ini, (Dari kiri, Shahrul Efendi, suami Maslina, anakanda dan beliau sendiri, Rohana dan Mukmin, Firdaus, Ibu Azlina dan Hakim, Raihana dan anakandanya).

Hari ini (24/1) bakal menjadi titik sejarah buat sahabat kita Masrina Mohammad (Timb. Presiden gD) yang sudah selamat menjadi suri kepada suaminya. Saya bagi pihak semua kepimpinan gD.org dan ahlinya mengucapkan mambruk alaikuma, moga InsyaAllah masjid yang dibina terus subur dan makmur hendaknya. Saya mengenali beliau sejak zaman berada di Dayasari lagi (2000-2003). Beliau memang seorang yang periang, mudah dengan senyuman manisnya tetapi sangat berhati-hati dan sensitif. Moga bertambah lagi kekuatan beliau dengan pendamping yang sasa bergaya itu. Moga dengan itu kuatlah lagi ikatan ukhuwwah kita di gD.org!

Sekali lagi, tahniah Mas dari kami di keluarga gD.org!!

Jumaat, 23 Januari 2009

Sejarah baru buat gD.org

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah. gD.org akan mengumumkan alamat pejabat urusannya sendiri tidak lama lagi. Berkat kesatuan hati cita-cita ini bakal menjadi kenyataan. Walaupun tidaklah sehebat mana, tetapi ianya satu kebanggaan pada ikatan ukhuwwah ini. Juga akan diumumkan ialah talian no perhubungan dan faks. Kredit gD.org harus diberikan kepada Saudara Shakir Saad atas kesudian beliau atas usaha ini. InsyaAllah sedikit masa lagi gD.org bakal didaftarkan secara rasmi.

Cabaran baru buat gD.org
Seperti mana yang dibincangkan dengan teliti di KK Disember lepas, adalah menjadi cabaran kita untuk menggandakan proses kutipan dana, aktiviti ekonomi dan pelaburan dan kekukuhan implimentasi resolusi yang dipersetujui. Saya bagi pihak gD.org memohon sokongan kuat sahabat-sahabat yang amat saya sayangi ini.

Program sulung gD.org2u bulan Mac 2009
Tidak lama lagi juga akan diumumkan satu program gerak masyarakat pertama gD.org buat tahun ini. Tarikh dan tempat sudah pun dipersetujui. Bagaimanapun masih banyak urusan kolaborasi perlu dijalankan sebelum ianya diumumkan. gD.org pasti, ianya satu pengalaman amat berharga apabila menghulur sedeqah jariah walaupun ianya setitik peluh. Sedikit gambaran, program ini akan berlangsung pada salah satu hujung minggu (Mac 2009), melibatkan peluh dan keringat, hampir 90% persetujuan akan diadakan di Klang, Selangor.

gD.org akan kembali mengegar 2009!

Khamis, 22 Januari 2009

Tahniah Kuala Terengganu

Siaran tertunda.

Sekalung tahniah juga buat rakyat Kuala Terengganu. Ternyata rakyat telah berpakat menolak politik sempit. Politik sogok. Politik murah. Kemenangan rakyat akan terus merebak dan suara rakyat akan terus bergema. Apapun alasan parti pemerintah negeri si penyu ini, ternyata politik 50an, 60an, 70an, 80an dan 90an tidak relevan lagi hari ini.

gD.org mendoakan kemenangan ini menyemarakkan lagi suara dan hak rakyat. Sudah lama benar 'mereka' selesa. Moga ahli parlimen berkenaan YB Hj Abdul Wahid Endut dapat menggalas amanah seperti mana bijaknya Abu Bakar, beraninya Umar, inovatifnya Usman dan ilmiahnya Ali. Lebih-lebih lagi amanahlah seperti rasululllah SAW. Kami rakyat mendokong setiap usaha atas nama ALlah.

Rabu, 21 Januari 2009

Tahniah UM!

Tahniah UM! Anda bijak memilih! Tahniah penggerak dan pendokong mahasiswa! 5 tahun belajar dari kekalahan! Apabila kamu kuat berusaha, kejayaan itu pilihan tetapi semangat itu wajib!

Update:

Saya bagi pihak gD.org amat kagum dengan usaha kalian. Kamu telah meletakkan satu tanda aras baru cara berkempen, berhujah dan bergerak. Bagus sekali meletakkan imej bersih, kemas, slogan teratur, melawan segala sekatan, melawan prasangka perkauman. gD.org pasti kejayaan kamu bakal diingati sepanjang sejarah uniperdana itu.

Zaman kami yang berlalu itu mengajar kami kekuatan ketika di masyarakat hari ini. Saya pasti, jika kamu menang hari ini, tidak mustahil kamu menang esok hari. Jalankan amanah sebaiknya. Tunjukkan kepada mereka kecemerlangan akademik kamu. Suara kamu bakal dihormati di mana dan bila jua!

Mahasiswa : Hope & Change!! Yes you are!!

Sahabat boleh berkongsi emosi menerusi mahasiswakini.com dan promahasiswaum.blogspot.

Air Mata Palestin

Air Mata Palestin
(Nukilan sajakku khas buat umat Islam Palestin)
Sudah kering air mata Palestin
Menangisi para syuhada yang gugur di medan jihad
Bertempur dengan Israel Laknatullah
Sudah kering air mata Palestin
Melihat bantuan tidak kunjung tiba
Saudara seIslam di Timur Tengah hanya diam seribu bahasa
Sudah kering air mata Palestin
Melihat anak-anak kecil yang tidak berdosa, wanita dan pemuda gugur satu persatu
Di saat para pejuang Hamas sedang bertempur
Hanya doa qunut nazilah menjadi bekalan pengharapan
Umat Islam seluruh dunia tulus mengadu kepada Allah
Agar diberi bantuan dari langit dan segala tenteraNya
Sudah kering air mata Palestin
Sayu melihat darah menjadi murah
Nyawa seakan tidak berharga lagi
Hanya menunggu saat kematian
Di penjara terbesar dunia
Sempadan Gaza yang terpinggir dari bantuan dunia
Akibat kekejaman Israel durjana
Sudah kering air mata Palestin
Meratapi kematian sanak saudara
Hanya membilang hari
Bilakah diriku akan dijemput Allah
Dalam episod kezaliman Israel dan Amerika yang tidak berkesudahan
Mohd Izwan bin Md Yusof
(Disiarkan dalam Berita Harian bertarikh 16 Januari 2009, Jumaat)