Jumaat, 26 September 2008

Salam Aidilfitri gD!!

Saya mewakili semua MT gD, Masrina (yang jauh dirindui), Shahrul (raya pertama menjadi walid), Zaleha (bila balik klate za?), Apeez (baik-baik driving deh..), Rabiatul Adawiyah (balik mana raya ni?) menyusun sepuluh jari, memohon kemaafan yang tidak terhingga kepada sekalian ahli gD. Kami berusaha, kamu berusaha, tuhan juga menentukannya.

Seruan saya kepada semua ahli gD:

1. Pulang dengan berhati-hati tak kira apa metod pengangkutan anda.
2. Mohon maaf dengan bersungguh-sungguh, peluk cium ayah dan ibu selagi mereka ada. Yang tiada ziarahlah dan bacakanlah yassin dan bersedekahlah bagi pihaknya.
3. Sampaikan salam saya dan MT kepada sahabat-sahabat gD yang lain sekiranya bersua di kampung halaman sana.
4. Rebut beberapa hari lagi peluang terakhir untuk mendapat lailatul qadar.
5. Sampaikan seruan dakwah dan islah kepada ahli keluarga, rakan-rakan dan saudara mara.

Semoga kita dipertemukan dalam mahabbah dan mawaddah di Perjumpaan Aidilfitri gD.org di rumah sahabat kita Aizuddin di Klang, 18 Oktober nanti.

Minnal aidil wal faizin.

Wassalam.

Mohd_Hafiszi_Othman
Presiden gD

Image above was copyrighted by Reka Partnership Sdn Bhd in 2007.

Khamis, 25 September 2008

Beras oh Beras.....

Oleh : Sahabat gD Zulhilmi Haron (Tq lagi zool)


Tinggal seminggu sahaja lagi kita akan menjengah tirai Aidil Fitri dan terpaksa meninggalkan gerbang Ramadhan. Dalam fenomena ini ada 2 situasi: ada yang gembira dan ada pula yang menangis. Bagi yang gembira menyambut kedatangan Aidil Fitri, itulah kelaziman & kebiasaannya ummat Melayu yang cukup sinonim dengan sambutan Hari Raya Puasa. Manakala yang menangisi untuk meninggalkan Ramadhan, mereka inilah yang amat beruntung di akhirat kerana menangisi pemergian Ramadhan, Madrasah Barokah wa Rohmah wa Tarbiyyah. Mereka ini menganggap pertemuan dengan Ramadhan yang akan datang sebagai sesuatu yang belum pasti di tahun hadapan.


Di penghujung bulan inilah masing-masing berebut-rebut dan bersesak-sesak. Itupun ada 2 golongan: yang merebut-rebut untuk mendapatkan reward Lailatul Qadr dan satu golongan lagi berebut-rebut dan bersesak-sesak untuk tidak melepaskan peluang jualan hebat di “Lailatul Pasar”.


Apa yang menariknya di celah-celah kesibukan itu ada yang masih mengingati satu lagi kewajipan selepas berpuasa di bulan Ramadhan iaitu kewajipan zakat fitrah. Inilah peak hours untuk amil-amil bertugas di segenap ceruk mengutip zakat fitrah dari ummat Islam. Satu perbualan hangat anak muda Islam ketika berbuka puasa dirakamkan di sini:


A : “Eh, fitrah tahun ni berapa ha?”

B : “tak silap RM 5.20, macam tahun lepas...”

A : “budak umah aku sorg tu jadi amil Kedah, bayar kat dia RM 7.00”

B : “eh, mahalnya! walau pun aku ni anak Kedah aku nak bayar kat sinilah, murah skit”

A : hang ni tak patriotik langsung, tak nak tolong sedara senegeri sendiri...apara!”

B : “hehehe, pulus syeh..kena jimat time sume barang naik ni..”


Inilah sebahagian perbualan anak muda sekarang.Ini pun kira dah baik, sebab nak jugak tunaikan kewajipan Rukun Islam ini walau pun mencari alternatif yang lebih ekonomik.

Untuk panduan bersama berikut adalah kadar zakat fitrah 2008 / 1429H bagi negeri-negeri di Malaysia;

KualaLumpur RM5.20
Labuan RM5.20
Putrajaya RM5.20
Johor RM6.50
Kedah RM7.00
Kelantan RM7.60
Melaka RM6.30
N.Sembilan RM6.50
Pahang RM7.30
Perak RM7.00
Perlis RM5.00/RM7.00
P.Pinang RM7.30
Sabah RM7.70
Sarawak RM7.50
Selangor RM5.20
Terengganu RM6.00/RM7.00/RM8.00


Kalau boleh, bayarlah awal supaya dapat disampaikan lebih awal kepada asnaf zakat. Zakat fitrah boleh dibayar dari awal Ramadan dan sunat membayarnya selepas fajar Aidilfitri hingga waktu solat hari raya, tetapi makruh membayarnya selepas solat terbabit dan ia tidak dikira zakat, sebaliknya sedekah, seterusnya jatuh haram membayarnya apabila berakhirnya satu Syawal.


Rabu, 24 September 2008

Si Kaldai Yang Lapar

Oleh : Sahabat gD Zulhilmi Haron (Tq zool)

Arakian kalinya kita masih dapat menjengah ke tirai Syawal dan sudah menjadi satu kemestian kita disibukkan membuat persiapan untuk memeriahkan lagi sambutan Hari Raya masing-masing. Bagi sahabat-sahabat yang bergelar suami, buntu untuk menentukan giliran balik kampung serta persediaan sepanjang perjalanan balik kampung. Ada yang memperuntukan pemberian bonus oleh kerajaan dijadikan sebagai duit minyak dan tol untuk balik beraya di kampung, termasuklah perbelanjaan servis kereta. Bagi sahabiah yang bergelar seorang ibu pula, masa inilah sibuk menyiapkan kelengkapan busana suami dan juga anak-anak. Menjadi satu kepuasan di hati bila ahli keluarga tampak segak bergaya mengenakan pakaian baru sempena Hari Raya, Hari Kemenangan umat Islam mengharungi ’peperiksaan’ Ramadhan.


Kemenangan itu berupa kejayaan melawan hawa nafsu setelah ’coach’nya telah di’ISA’kan oleh Rabbul Izzati selama tempoh 30 hari dalam tahanan. Ini bermakna umat Islam bebas tanpa dihasut, di’didik’ dan dimotivasikan oleh ’coach’ masing-masing selama tempoh itu. Tindakan Allah Taala menangkap makhluk penghasut ini di bawah ISA sebenarnya bagi menjaga keamanan umat Islam beribadah dan bagi menjamin kestabilan ekonomi umat Islam ketika berbelanja di bazar-bazar Ramadhan, shopping complex dan gerai-gerai jualan sempena Hari Raya. Walaupun begitu baik strategi yang disusun olehNya, kita umat Islam masih gagal mengawal nafsu kita yang tidak pernah puas dengan sesuatu. Inilah kejayaan didikan dan ’tarbiah’ makhluk penghasut itu selama 11 bulan sebelum ini.


Disamping kesibukan tersebut, ada yang masih memikirkan hal keduniaan semata-mata tanpa melihat persiapan akhirat untuk mengadapNya, Tuhan yang Maha Esa. Dengan silibus yang telah disusun olehNya sepanjang pakej kursus dalam Universiti Ramadhan untuk melahirkan graduan bertaqwa. Timbul persoalan, ”Berapa ramaikah umat Islam yang mampu menamatkan pakej kursus Universiti Ramadhan sehingga mencapai anugerah ’graduan bertaqwa’?” (rujuk Surah Al-Baqarah : 183)

Adakah kita salah seorang daripadanya?Marilah sama-sama kita mengadakan post mortem diri masing-masing dimana letaknya diri kita ini kalau bukan sebagai salah seorang ’graduan bertaqwa’ sebelum menjengah akhir Ramadhan ini. Sekiranya tidak, masih ada waktu untuk kita tebus diri untuk kita menggondol segulung ijazah dan bergelar ’graduan bertaqwa’. Sekiranya kita membiarkan ia berlalu begitu sahaja, kita tidak ubah seperti seekor kaldai yang kelaparan berpuasa sepanjang bulan bersama kaldai-kaldai yang lain.

Isnin, 22 September 2008

Sticker Ahli GD.org

Dengan rendah diri saya ingin melancarkan penjualan sticker ahli GD.org. Rekacipta adalah berinspirasikan sahabat firdaus yang teguh dengan mesej-mesej dakwah beliau. Moga sticker kereta ini walaupun kecil dapat juga membawa mesej dakwah walaupun di mana sahabat-sahabat berada.

Harga sticker ini adalah satu unit RM5 sahaja. InsyaAllah keuntungan yang sedikit akan disalurkan ke tabung gd.org. Bagi pembelian dua unit adalah harga promosi RM8 sahaja.

Jangan lepaskan peluang ini untuk berdakwah sambil menyatakan sokongan kepada GD.org.

Khamis, 18 September 2008

Selamatkan Kami Tuhan....

Saya karang posting ringkas ini di dalam kereta, berlatang belakangkan lagu2 arab, sementara menunggu temujanji pagi ini. Saya tiada masa banyak, tapi saya tetap mahu luahkan sesuatu.

Malaysia kelihatan amat gawat! Bunyi amat gawat! Rasa amat gawat!

Saya rakyat biasa, saya kecewa. Sangat kecewa dengan Malaysia hari ini.

Saya mohon semua ahli generasidynamic bermunajat mohon doa dari Allah. Selamatkanlah Malaysia. Pemimpin rakus itu terus mengancam perpaduan kami, ekonomi kami, maruah kami. Cukuplah ISA memisahkan antara keluarga. Cukuplah menipu kami rakyat jelata.

Moga berkat ramadhan dan lailatul qadar memancarkan sinar baru di tempat tumpah darah ini.

Kami sayangkan Malaysia kerana itu sifat yang beriman. Tapi kami tak rela dikhianati lagi. Tuhan selamatkanlah kami semua.