Rabu, 14 April 2010

Di Akhir Hayat Atuk

8 (Khamis) hingga 11 April 2010 (Ahad)

Kami sekeluarga bergegas pulang ke kampung Kedah, menziarahi atuk yang sedang sakit tenat.
Dari hari pertama kami sampai, atuk memang hanya mampu terlantar, tidak mampu berkata-kata, makan dan minum sendiri. Sehari ke sehari, begitulah keadaannnya. Saudara jauh dan dekat tidak putus-putus menziarahi atuk yang terlantar. Sang anak, menantu, cucu, sepupu bergilir-gilir menyuapkan setitis air untuk keperluan tubuhnya yang sekian gering.

Alunan yasin, bacaan al-Quran sentiasa dibacakan di sisinya sebagai syifa' rohani.

Selepas Asar pada hari Ahad (11 Apr 2010) kami bertolak pulang ke Sg. Merab. Meninggalkan atuk yang terlantar, dengan berat hati, namun, berbekalkan kondisi atuk yang kelihatan ada perkembangan positif, walaupun sedikit, itulah yang menggagahkan kami pulang.

11.30 malam Ahad, kami selamat sampai di Sg. Merab.

12 April 2010 (Isnin)

Pak Su telefon abah sebaik sahaja atuk menghembuskan nafasnya yang terakhir. Waktu itu jam 4.10 petang. Hati kami bagaikan tersentap, direntap kerana tidak sampai 24 jam kami pulang dari Kedah, namun semuanya hak dan kuasa Allah. Hanya abah, mak dan Imran sahaja yang bergegas pulang semula ke Kedah memberikan penghormatan terakhir ke atas jenazah atuk. Bersandarkan pesanan abah, "Afan, Yuzi, jaga adik-adik." Fahamlah kami akan tugasan itu. Menghantar adik ke sekolah, membelikan lauk dan sebagainya memandangkan kami abang yang paling tua yang tinggal berhampiran dengan rumah abah. Kami pasrah, walaupun jiwa dan hati kami telah sampai lebih awal di Kedah.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh atuk, yang kami panggil 'Wan'. Sesungguhnya pengalaman kami yang hanya sebentar cuma menemani Wan, membacakan yasin buat Wan, membersihkan badan Wan dan sebagainya sangat menginsafkan kami. Kami juga akan pergi menemui Tuhan yang menciptakan. Ya Allah, ampuni kami..Al fatihah.

'Wan ialah atuk kepada Safwan, ayah kepada abah Mohd Makki.

moderator

Tiada ulasan: