Rabu, 25 Ogos 2010

Secangkir Tamara @ Ramadhan 1431H

Assalamualaikum wrt wbt

Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah atas nikmat menempuhi separuh pertama Ramadhan. Selawat dan salam ke atas Rasul junjungan mulia, serta para sahabat baginda. Semoga Allah mengurniakan rahmat yang besar ke atas mereka serta kita sebagai umat di akhir zaman ini.

Allah berfirman :

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa."
Al-Baqarah ; 183.

Takziah diucapkan kepada Cikgu Zahari dan Siti Hasrah di atas ujian yang berlaku. Semoga dengan keberkatan Ramadhan ini, mampu menyuntik kekuatan dan kesabaran hadiah dari Allah dalam meningkatkan darjat para hambaNya yang sabar dengan ujianNya. InsyaAllah, kami dan kita semua dalam keluarga gD sentiasa mendoakan yang terbaik untuk Cikgu Zahari sekeluarga.

Sahabat yang dikasihi,

Allah menyajikan kita dengan rahmat yang sangat banyak dengan hadirnya Ramadhan. Justeru, peluang ini hanya akan dimanfaatkan semahunya dan digunakan sebaik mungkin bagi hambaNya yang mahu. Sudah pasti Ramadhan yang berlalu tidak akan kembali bertamu. Peluang Ramadhan yang kita ada hari ini, waktu dan saat ini lah yang mesti kita isi sebaik mungkin untuk menjana taqwa.

Apa kaitannya puasa dengan taqwa? Mengapa Allah menyuruh kita untuk menjadi golongan bertaqwa itu?

Puasa ini adalah perbuatan menahan diri daripada sesuatu yang kita ada di depan mata / sekeliling kita tetapi kita tidak perlukannya/mengambilnya lantaran tuntutan daripada puasa itu sendiri seperti makan minum dll. Kerana itulah ibadah berpuasa ini Allah yang memberikan pahalanya. Komunikasi ibadah antara hamba yang direct/terus kepada Allah.

Puasa inilah yang menjadi satu proses untuk seseorang itu mendapat hadiah / ganjaran taqwa. Manusia menjalani proses puasa dan hasil akhirnya adalah taqwa. Begitulah output yang sepatutnya kita perolehi seandainya kita benar-benar meletakkan/mewakafkan diri kita untuk diproses sedemikian rupa dalam memperolehi output taqwa tersebut.

Seorang ibu yang bertaqwa, sabarnya tinggi. Sedikit cerita mengenai anak Stephen R. Covey, yang popular dengan bukunya The 7 Habits of Highly Effective People itu. Satu hari anaknya yang masih kecil menyusun pinggan kotor di atas lantai dapur dan dia menyiram satu-satu pinggan tersebut dengan air.

Ketika ditanya oleh ibunya, " Mengapa kamu buat begitu sayang?"
Si anak menjawab, "Saya mahu menolong ibu membasuh pinggan".
"Oh begitu. Lain kali, kalau adik nak basuh pinggan, adik beritahu ibu ya. Biar ibu meletakkan kerusi supaya adik boleh membasuh pinggan di dalam sinki"

Apabila Stephen Covey pulang ke rumah, si anak tadi kegirangan dengan memeluknya sambil berkata "Ayah, saya telah berjaya menolong ibu membasuh pinggan"

Adakah ibu-ibu gD kita mampu bertindak sehalus dan sesabar itu? Dengan kepenatan kerja dan sibuk alaf baru ditambah lagi dengan karenah anak-anak lain yang lebih daripada seorang, mungkin 2, 3 dan 4. Sudah pasti kepenatan itu akan menjejaskan sedikit sebanyak mood si ibu dan si ayah yang sedang berpuasa.

Mungkin kita yang tidak sabar akan mencubit atau terus memarahi sahaja anak tadi. Jadi mungkin apabila si anak tadi dimarahi, hatinya yang jengkel membuat kesimpulan, "Oh, kalau tolong ummi basuh pinggan, nanti kena marah". Begitulah puasa Ramadhan ini sepatutnya menjadikan kita / memproses kita untuk menahan sabar, agarnya nanti membuahkan tindakan kita yang lebih berhati-hati dengan rasionaliti akal yang bijaksana.

Saya tidak mengatakan isteri Covey itu seorang yang bertaqwa, tetapi intipatinya ialah, bagaimana kita sebagai ibu dan ayah menahan dan mengawal marah dengan mengubah perasaan marah itu dengan cara yang lebih berdedikasi lebih-lebih lagi terhadap karenah anak-anak yang dalam proses membesar. Saya yakin rata-rata daripada kita pasti ada pengalaman perlbagai warna dalam menangani karenah anak-anak ini.

Selama 1 bulan diri kita menjalani proses menjana taqwa, agar taqwa itu mampu terus subur dalam menjalani 11 bulan selepas Ramadhan. Dengan dihuni para hamba yang bertaqwa, dunia ini akan selamat. Selamat dari segala macam malapetaka di penghujung zaman. Suami bertaqwa, isteri bertaqwa, anak bertaqwa, ibu dan bapa bertaqwa, pemimpin organisasi bertaqwa itulah yang menjadi cita-cita utama kita.

Saidina Ali pernah ditanya oleh seorang rakyatnya ketika beliau menjadi khalifah. "Wahai amirul mukminin, mengapa semasa zaman pemerintahanmu, terlalu banyak berlakunya perpecahan dan permasalahan ummah, tidak seperti di zaman Rasulullah masih ada?"

Lantaran Saidina Ali k.a.w menjawab "Ketika zaman Rasulullah, umatnya adalah orang-orang yang seperti aku. Dan sekarang ini, ketika aku memerintah, umat yang ada sekarang adalah orang-orang seperti kamu"

Selamat bermunajat & bermujahadah di separuh kedua Ramadhan, Selamat meraih keampunan Allah, Selamat mendamba syurga Allah. Semoga Allah menilai dan memandang usaha kita yang kerdil ini dengan limpahan maghfirah, dan kasih sayangNya.

Sekian.

Safwan Makki

Tiada ulasan: