Pengalaman Terindah
Mengunjungi Baitullah Al-Haram bagi menunaikan rukun Islam kelima adalah pengalaman paling indah pernah berlaku dalam hidup. Benar, saat berkahwin indah, mendapat cahayamata juga indah tetapi nikmat dapat menjadi hamba yang menghinakan diri demi mencapai cinta-Nya di tanah haram (haramain) yang mulia adalah keindahan yang tiada galang gantinya.
Alhamdulillah aku dan isteri terpilih menjadi tetamu-Nya pada musim haji 1430H yang lalu. Sebenarnya bondaku yang mendaftarkan namaku pada tahun 2000 iaitu sebaik sahaja selepas arwah ayahanda meninggal dunia. Rencananya kami mahu mengerjakan haji bersama-sama walaupun bondaku telah selesai menunaikan tanggungjawab berkenaan bersama arwah ayahanda pada 1993.Tahun demi tahun berlalu tanpa kami secara serius membuat tindakan susulan untuk bertanya tahun giliran untuk mengerjakan haji sehingga aku sendiri lupa yang aku sudah mendaftar. Selepas berkahwin pada 2006,aku dan isteri memang merancang untuk menunaikan haji dalam usia muda. Semasa berkira-kira dengan isteri, kami membayangkan mustahil untuk pergi sebelum usia 30 kerana belum mendaftar dan bimbang wang belanja tidak mencukupi (bayangkan saya boleh lupa yang saya telah mendaftar).Sekitar tahun 2008, rasa sungguh seronok berkongsi cerita dengan Pn Azizah (Kak Zah) yang baru balik mengerjakan haji. Kataku padanya indah sungguh jika tahun hadapan (2009) aku pula bisa ke
Haji, Saringan Terus Dari Allah
Benarlah, menunaikan haji ini pilihan Allah dan jika kita punya keinginan dan berusaha, Allah akan melorongkan kemudahan. Sekitar Mac 2009, aku pergi mendaftarkan haji untuk isteriku. Gilirannya..tahun 2025. Sekadar mengisi masa lapang, aku minta disemak statusku kerana merasakan aku telah mendaftar. Alangkah terkejutnya apabila dimaklumkan giliranku adalah pada 2009. Jika ingin membawa isteri bersama, sertakan
Maha suci Allah yang mempermudahkan urusan apabila ibuku juga mendapat giliran pada 2009 dan ayah tiriku juga mendapat giliran pada 2009. Jadi semuanya kelihatan telah diatur sedemikian indah. Tanpa berlengah kami terus mendaftar untuk mengikuti kursus haji bersiri secara mingguan. Sebelum ke tanah suci, pihak Tabung Haji melaksanakan dua kali kursus perdana. Pada kursus perdana di Masjid Shah Alam, para jemaah telah diarahkan untuk menjalani simulasi amalan-amalan dalam ibadah haji iaitu tawaf, saie, melontar dan sebagainya. Semasa kursus, aku dan isteri berasa sungguh penat dan kami tak dapat membayangkan apabila benar-benar telah sampai masanya nanti. Benar, selain ilmu haji, persediaan fizikal sangat penting.Selain persediaan ilmu dan fizikal, aku dan isteri perlu juga menyiapkan mental dan emosi apabila memikirkan anakanda yang baru berusia setahun bakal ditinggalkan. Semua ini sedikit menggusarkan, namun berkat kepercayaan dan tawakkal kepada Ilahi, kami gagahkan diri untuk menempuhi semua halangan tersebut.
Meniti Lembaran Di Madinah Al-Munawwarah
Akhirnya, masanya pun tiba.Tarikh 26 Oktober 2009, aku dan isteri bertolak dari Kompleks Haji Kelana Jaya. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar walaupun penerbangan tertunda hampir tiga jam dan kami terpaksa menunggu di KLIA pada waktu insan-insan lain enak dibuai mimpi dalam kesyahduan malam. Kami tiba di Lapangan Terbang Madinantul Hujjaj di Madinah setelah menempuh perjalanan sembilan jam menaiki pesawat Saudi Airlines. Selama lapan hari diperuntukan bagi jemaah di Madinah. Masa yang ada diluangkan untuk ziarah sekitar Madinah dan mengabdikan diri pada-Nya di Masjid Nabawi khususnya memanjatkan doa di Raudhah yang merupakan taman di antara taman-taman syurga mengikut mafhum dari hadith Rasulullah. Selain itu, ada jugalah agenda membeli-belah(tapi bukan agenda utama ya..awas jangan sampai tergoda). Ramai menyarankan jika mahu membeli belah, elok dibeli di Madinah berbanding Mekah kerana penjualnya lebih bersopan santun dan pilihan juga lebih banyak dan menarik. Kami lebih tertumpu memborong kurma dan sedikit cenderamata buat yang ada di tanahair.
Tiada amalan haji di Madinah sekadar ziarah demi menghormati jenazah Rasulullah yg mulia yg dimaqamkan di sini. Selain itu, perkuburan Baqi’ yang menghimpunkan ribuan syuhada’, para sahabat dan isteri-isteri Rasulullah juga tempatnya di Madinah berdekatan Masjid Nabawi. Ziarah ke perkuburan Uhud juga cukup menyentuh hati apabila mengenangkan susah payah para sahabat berjuang di
Setelah lapan hari, tibalah masanya untuk menuju ke Makkah. Sebelum meninggalkan Madinah, semua jamaah diminta membuat ziarah wada’ atau salam selamat tinggal di maqam Rasulullah. Perasaan sebak tidak dapat dibendung kerana memikirkan mungkin itulah kali terakhir berkunjung ke situ andai usia tidak dipanjangkan.Sebagai persediaan untuk melaksanakan umrah wajib, semua jemaah telah siap berihram dari Madinah lagi. Perasaan bercampur baur antara sedih meninggalkan Madinah yang sangat menenangkan, gentar untuk mengunjungi rumah Allah dan rasa bimbang dengan apa yang bakal berlaku nanti. Namun laungan talbiah sepanjang perjalanan serta doa-doa yang tidak putus dipanjatkan dapat menenangkan gelisah di dalam jiwa.
Di Makkah Al-Mukarromah
Jarak lebih kurang 400+ kilometer diharungi dalam tempoh lebih kurang lapan jam dicampur dengan kesesakan dan pemeriksaan di checkpoint sebelum memasuki Makkah. Sampai sahaja tiba di Makkah, pihak Tabung Haji menyarankan agar jemaah berehat dan umrah hanya akan dibuat keesokan harinya. Namun, berkat tunjuk ajar dari ibu yang telah berpengalaman, aku dan isteri melaksanakan umrah wajib kami malam itu juga. Walaupun penat, namun kami sangat berpuas hati kerana waktu awal pagi ketika itu belum ramai jamaah di Kaabah lantas memudahkan urusan tawaf dan saie serta penghayatan juga lebih baik. Pengalaman pertama melihat kaabah sukar diungkap dengan kata-kata. Rasa takjub dan sungguh kerdil diri ini di hadapan binaan teragung itu.
Kami tiba di Makkah lebih kurang tiga minggu sebelum hari wuquf. Maka selepas selesai mengerjakan umrah wajib, hari-hari sebelum wuquf dipenuhkan dengan umrah sunat, tawaf sunat dan mengulangkaji tentang ibadat haji. Bagaimana cara jemaah memenuhkan masa lapang sebelum wuquf dapat menentukan bagaimana menghadapi suasana ibadah haji nanti. Agak mendukacitakan kerana ramai juga jemaah yang tidak mengambil kesempatan untuk berulang ke Masjidil Haram sebaliknya solat dikerjakan di surau hotel. Mungkin tidak mengapa bagi yang uzur, namun ramai juga yang sihat tidak menggunakan kesempatan keemasan beribadah di hadapan kaabah yang mulia. Di samping itu, pergi haji bersama muassasah lazimnya akan berkongsi bilik antara 4-6 orang.Masalah bersama ahli bilik juga satu fenomena yang kadangkala merimaskan. Bayangkan jika anda anti rokok tetapi terpaksa sebilik dengan kaki rokok yang kadangkala tanpa silu merokok di dalam bilik. Sungguh, ia mencabar kesabaranku..tetapi mengenangkan diri dalam usaha mencari redha-Nya, semua itu perlu ditempuhi dengan sabar.
Menelusuri RedhaMu, Haji Mabrur
Akhirnya, masa untuk mengerjakan ibadah haji pun tiba. Tanggal 8 Zulhijjah 1430 kami bergerak menaiki bas dari
Ibadah Wuquf
Waktu wuquf yang tiba selepas zuhur 9 Zulhijjah hingga Maghrib memang dimanfaatkan sepenuhnya oleh para jemaah untuk berdoa dan memohon ampun atas segala dosa. Waktu wuquf berada pada hirarki teratas sebagai waktu paling mustajab berdoa. Selain doa sendiri, doa-doa yang dikirim dari tanahair juga dibacakan sekali dengan harapan Allah memperkenankan permohonan ini. Selepas Maghrib jemaah dibawa ke Muzdalifah untuk mengutip anak batu untuk tujuan melontar pada 10 Zulhijjah nanti. Setelah itu jemaah dibawa ke Mina untuk berkampung selama 3 hari bagi menyempurnakan ibadah melontar. Perjalanan dari khemah di Mina ke tempat melontar yang dinamakan jamrah agak jauh juga dan perlu melalui terowong Muasseim. Jika pembaca masih ingat, pada tahun 1991, berlaku tragedi ngeri yang mengorbankan ribuan jemaah haji di terowong ini. Namun, dengan pengurusan yang lebih baik pada masa ini, kejadian seumpama itu dapat dielakkan. Akan tetapi apabila ada jemaah yang mula menolak-nolak dan tidak sabar, akan berlaku sedikit kekecohan dan apabila itu berlaku, perasaan di hati sangat bimbang mengenangkan kemungkinan tragedi Muasseim berulang. Alhamdulillah, semua urusan di Mina dan ibadah melontar berjalan lancar.
Tawaf & Sa'ie
Seterusnya jemaah akan pulang ke Makkah dan menyempurnakan ibadah tawaf dan sa’ie haji. Apabila telah sempurna kedua-duanya, maka sempurnalah sudah ibadah haji dan secara rasminya bolehlah seseorang jemaah itu bergelar haji atau hajjah. Namun yang pasti, kemabruran ibadah haji yang dikerjakan hanya Allah yang dapat menilainya.
Setelah selesai ibadah haji, kami hanya mempunyai masa lebih kurang seminggu sebelum pulang ke tanah air. Allah menguji apabila selepas pulang dari Mina aku dan isteri diserang demam yang agak teruk. Mujurlah bekalan ubat-ubatan mencukupi dan petuanya jangan dilayan sangat sakit itu, nescaya anda akan cepat sembuh. Akhirnya masa pun tiba untuk kami mengucapkan selamat tinggal. Para jemaah diminta menyempurnakan tawaf wada’ (tawaf selamat tinggal) sebelum berangkat meninggalkan
Sepanjang berada di Makkah, peristiwa paling tidak dapat dilupakan adalah apabila seorang jemaah di bilik sebelahku meninggal dunia sebelum sempat menyempurnakan ibadah haji. Sangat sebak mengenangkan isteri arwah yang datang bersama suami namun bakal pulang sebagai seorang balu. Semua itu menginsafkan aku bahawa Allah maha berkuasa atas segala sesuatu dan hidup kita di atas muka bumi ini akan berakhir bila-bila masa sahaja.
Menggalas Haji & Hajjah
Akhirnya haramain ku tinggalkan dengan memori dan kenangan yang sangat manis. Pulang ke tanahair, cabarannya lebih besar apabila orang mula memberi harapan besar dengan gelaran haji yang dipikul. Tapi aku sendiri
"Kawasan antara rumahku dan mimbarku adalah taman di antara taman-taman syurga". Papan tanda di hadapan Raudhah yang menjadi rebutan jemaah untuk solat, munajat dan berdoa
Perkuburan Baqi' yang luas, saujana mata memandang. Tempat permakaman para sahabat termasuk isteri-isteri Rasulullah
Pintu keluar dari maqam Rasulullah. Jemaah sentiasa penuh di sini
Di Bir Ali tempat miqat untuk niat ihram dari Madinah
Selepas selesai mengerjakan umrah wajib. Luckily org belum ramai masa ni
Ni belum maksimum lagi. Tawaf selepas Asar adalah masa yang paling ramai umat
Di airport Jeddah sebelum balik. Tak ada mood nak shopping ke, atau bergambar dah masa ni. Terbayang Uwais je
Sekian.
********************
Semoga tulisan yang dikongsi oleh Hj Firdaus dan Hajjah Wan Siti Fatimah ini akan lebih memperkemaskan lagi niat kita untuk menunaikan ibadah haji terutamanya pada usia muda, insyaAllah.
Terima kasih atas perkongsian yang sangat bermakna ini.
moderator
1 ulasan:
Terima kasih kerana menyiarkan tulisan ini. Saya tak pasti tambahan tajuk kecil tu idea Pn Hajjah atau Pn moderator, tapi bagus sbb tulisan asal saya tiada benda tu. Saya dah berkongsi catatan ini di notes saya di facebook.Moga ada manfaat dari tulisan yang tidak seberapa ini
Catat Ulasan