Jumaat, 28 Mei 2010

Kelahiran Anakanda gD

Tahniah buat pasangan Ustaz Amir Arifin dan Ustazah Nor Masni Mohamad yang mana telah dikurniakan cahaya mata ke 3, pada 28 Mei 2010, jam 6.00 pagi seberat 2.93 kg.

Tahniah juga buat sahabat kita Siti Najiha Yunos yang telah selamat melahirkan puteri sulung mereka pada pagi 30 Mei 2010 di PPUM.

Semoga kehadirannya menambakan lagi seri bahagia dalam rumah tangga kalian, insyaAllah.

Selasa, 18 Mei 2010

Karnival Aura Ungu 2010


KARNIVAL AURA UNGU 2010

21 & 22 MEI 2010

KOMPLEKS KEBUDAYAAN SHAH ALAM,SELANGOR

Aktiviti menarik sepanjang Karnival :


(klik gambar untuk lebih jelas)

Kami menjemput anda untuk memeriahkan suasana serta menjayakan program ini. Untuk maklumat lanjut, layari http://kau2010. webnisa.net

Nisa' Sepang ditugaskan untuk menjaga protokol. Teringat tokoh prokotol PMIUM, Ustaz Syamsul Hadi zaman kita di kampus dahulu. Alhamdulillah, beliau telah menonjolkan bakatnya yang hebat ketika mengendalikan protokol ketika Mesyuarat Agong Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor tempoh hari. Tahniah!!

InsyaAllah, nantikan sahabat kita Siti Zaharah Kasim di booth sempena Karnival Aura Ungu. Sama-sama kita meriahkan. Siapa lagi nak mengimarahkan gD, kalau bukan kita. Siapa lagi nak mengimarahkan Nisa' kalau bukan kita. Kerana Nisa' juga adalah sebahagian daripada entiti dan medan yang boleh kita turut serta menyumbang seapa daya. Apatah lagi Dewan-Dewan milik jamaah yang tiga itu..? Tidak kira lah peringkat mana.....

Sama-sama kita muhasabah masa kita, tenaga kita, wang ringgit kita, buah fikiran kita. Ke manakah semuanya itu kita infakkan.....

Jadilah pemberi yang sebanyak-banyaknya....Ia lebih baik daripada menjadi penerima yang sebanyak-banyaknya...

Ingatan untuk diri yang semakin menginjak usia....

Siru 'ala barakatillah

"Ayuh Sahabat, Kita Realisasikan Impian Bersama"

moderator

Khamis, 22 April 2010

Kelahiran Anakanda gD

Alhamdulillah,hanya kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah di atas kelahiran seorang putera (anak kedua) bagi pasangan Yusmahwati Yusof (I26) dan Mohd Azli Bin Mohd Nizah (T30), seberat 2.64 kg pada 20 April 2010, 7.22 malam di Pusat Rawatan Islam Az-Zahra Bandar Baru Bangi. Nama diberi Muhammad Fahim Bin Mohd Azli.

Tahniah dari kami keluarga gD. Membesarlah kamu menjadi pemimpin yang soleh dan bertaqwa....amin....

moderator

Rabu, 14 April 2010

Di Akhir Hayat Atuk

8 (Khamis) hingga 11 April 2010 (Ahad)

Kami sekeluarga bergegas pulang ke kampung Kedah, menziarahi atuk yang sedang sakit tenat.
Dari hari pertama kami sampai, atuk memang hanya mampu terlantar, tidak mampu berkata-kata, makan dan minum sendiri. Sehari ke sehari, begitulah keadaannnya. Saudara jauh dan dekat tidak putus-putus menziarahi atuk yang terlantar. Sang anak, menantu, cucu, sepupu bergilir-gilir menyuapkan setitis air untuk keperluan tubuhnya yang sekian gering.

Alunan yasin, bacaan al-Quran sentiasa dibacakan di sisinya sebagai syifa' rohani.

Selepas Asar pada hari Ahad (11 Apr 2010) kami bertolak pulang ke Sg. Merab. Meninggalkan atuk yang terlantar, dengan berat hati, namun, berbekalkan kondisi atuk yang kelihatan ada perkembangan positif, walaupun sedikit, itulah yang menggagahkan kami pulang.

11.30 malam Ahad, kami selamat sampai di Sg. Merab.

12 April 2010 (Isnin)

Pak Su telefon abah sebaik sahaja atuk menghembuskan nafasnya yang terakhir. Waktu itu jam 4.10 petang. Hati kami bagaikan tersentap, direntap kerana tidak sampai 24 jam kami pulang dari Kedah, namun semuanya hak dan kuasa Allah. Hanya abah, mak dan Imran sahaja yang bergegas pulang semula ke Kedah memberikan penghormatan terakhir ke atas jenazah atuk. Bersandarkan pesanan abah, "Afan, Yuzi, jaga adik-adik." Fahamlah kami akan tugasan itu. Menghantar adik ke sekolah, membelikan lauk dan sebagainya memandangkan kami abang yang paling tua yang tinggal berhampiran dengan rumah abah. Kami pasrah, walaupun jiwa dan hati kami telah sampai lebih awal di Kedah.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh atuk, yang kami panggil 'Wan'. Sesungguhnya pengalaman kami yang hanya sebentar cuma menemani Wan, membacakan yasin buat Wan, membersihkan badan Wan dan sebagainya sangat menginsafkan kami. Kami juga akan pergi menemui Tuhan yang menciptakan. Ya Allah, ampuni kami..Al fatihah.

'Wan ialah atuk kepada Safwan, ayah kepada abah Mohd Makki.

moderator

Selasa, 6 April 2010

Kelahiran & Ulangtahun Srikandi gD

1) Sekalung tahniah buat Dr Rashidah Bt Bahari (I26) yang telah selamat melahirkan cahaya mata sulungnya pada 5 April 2010 seberat 2.69 kg pada jam 4.57 petang.

2) Tahniah juga diucapkan kepada Kak Long Shifa' (Nur Amiratusshifa' bt Shahrul Zaman) yang telah menyambut ulangtahun kelahirannya yang ketiga semalam (5 April 2010, sama birthday dengan baby Dr. Shidah)

Semoga kalian menjadi srikandi yang meneruskan perjuangan Ummi dan Abi kalian demi memartabatkan Islam di bumi Allah, insyaAllah. Lahirlah kalian untuk menjadi anak solehah, menjadi contoh kepada adik-adik dan masyarakat.

3) Selamat ulangtahun juga ditujukan buat sahabat Ibu Azlina yang menyambut ulangtahunnya pada hari ini. Walaupun terpaksa menyambut bersama rakan sejawat di Labuan, namun bahagia itu ada di mana-mana. Semoga sentiasa dilindungi dan dirahmati Allah, dunia akhirat, insyaAllah.

moderator

Khamis, 25 Mac 2010

Takziah Buat Sahabat Adlina

Takziah dari kami keluarga gD atas pemergian ayahanda Nor Adlina Bt Jamhuri pada 10 Mac 2010 yang lalu.

Al Fatihah.

Semoga roh allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh, amin.


Setiap yang bernyawa itu pasti akan merasai mati. Kemudian, hanyalah kepada kami kamu dikembalikan. Al-Ankabut : ayat 57

Sama-samalah kita mengambil iktibar daripadanya.

Lawati blog beliau di http://ummunashwa.blogspot.com

moderator

Wadah Kita, Kitalah Pencoraknya

Assalamualaikum wrt wbt buat sahabat gD yang dikasihi,

Semoga sentiasa berada dalam lindungan, rahmat, barakah dan redha Allah, insyaAllah hendaknya.

Bagi sahabat yang mahu berkongsi berita, cerita, nukilan, pengalaman, pendapat mengenai sesuatu isu, ilmu atau apa sahaja yang ingin dikongsikan bersama keluarga sahabat gD kita yang lain, untuk manfaat bersama, sahabat bolehlah menghantarkan tulisan sahabat ke alamat email di bawah :

pohon_hijau2@yahoo.com

beserta nama @ nama pena atau
ilustrasi @ gambar berkaitan

Bersama kita memanfaatkan ruang dan peluang yang ada ini sebagai "media centric" yang pernah kita resolusikan semasa ekspidisi kita di Tok Bali, Kelantan Darul Naim.

Semakin banyak kita berkongsi, semakin banyak manfaat @ ilmu yang kita pelajari/perolehi, insyaAllah.

Sekian.

Siru 'ala barakatillah

"Ayuh Sahabat! Kita Realisasikan Impian Bersama"

moderator

Rabu, 24 Mac 2010

Kelahiran Mac 2010

Tahniah buat yang baru bertukar status, dari hanya suami dan isteri, kepada abi dan ummi. Tahniah juga buat yang sudah bergelar ibu kepada seorang anak, kini bertambah rezeki Allah, kepada menjadi ibu kepada dua orang anakanda yang disayangi.

Generasi bertuah yang selamat dilahirkan ke dunia, menjadi penerus mata rantai perjuangan Islam, selama mana berpijak di bumi milik Allah, insyaAllah.

9 Mac 2010
Muhammad Afiq Amsyar Bin Mohd Syuwahyudi
Permata sulung buat pasangan Yudi (yang terkenal dengan Talibannya) dan Angah Khaireena.

********************
24 Mac 2010
Baby boy permata hati kedua buat Nur Adilah Md. Jamil dan Dr Abdul Aziz Sabran juga selamat dilahirkan pagi tadi, 8.14 pagi, seberat 3.8kg.

Tahniah dari kami keluarga gD.org. Selamat datang wahai anak-anak gD...dalam meramaikan keluarga besar generasiDynamic ini!!!

moderator

Bukan Kembara Biasa

Ditulis oleh Hj Muhammad Firdaus Bin Azizan & Hajjah Wan Siti Fatimah Bt Wan Abdul Rahim

Pengalaman Terindah

Mengunjungi Baitullah Al-Haram bagi menunaikan rukun Islam kelima adalah pengalaman paling indah pernah berlaku dalam hidup. Benar, saat berkahwin indah, mendapat cahayamata juga indah tetapi nikmat dapat menjadi hamba yang menghinakan diri demi mencapai cinta-Nya di tanah haram (haramain) yang mulia adalah keindahan yang tiada galang gantinya.

Alhamdulillah aku dan isteri terpilih menjadi tetamu-Nya pada musim haji 1430H yang lalu. Sebenarnya bondaku yang mendaftarkan namaku pada tahun 2000 iaitu sebaik sahaja selepas arwah ayahanda meninggal dunia. Rencananya kami mahu mengerjakan haji bersama-sama walaupun bondaku telah selesai menunaikan tanggungjawab berkenaan bersama arwah ayahanda pada 1993.Tahun demi tahun berlalu tanpa kami secara serius membuat tindakan susulan untuk bertanya tahun giliran untuk mengerjakan haji sehingga aku sendiri lupa yang aku sudah mendaftar. Selepas berkahwin pada 2006,aku dan isteri memang merancang untuk menunaikan haji dalam usia muda. Semasa berkira-kira dengan isteri, kami membayangkan mustahil untuk pergi sebelum usia 30 kerana belum mendaftar dan bimbang wang belanja tidak mencukupi (bayangkan saya boleh lupa yang saya telah mendaftar).Sekitar tahun 2008, rasa sungguh seronok berkongsi cerita dengan Pn Azizah (Kak Zah) yang baru balik mengerjakan haji. Kataku padanya indah sungguh jika tahun hadapan (2009) aku pula bisa ke sana sedangkan dalam hati aku merasakan itu hanya angan-angan.

Haji, Saringan Terus Dari Allah

Benarlah, menunaikan haji ini pilihan Allah dan jika kita punya keinginan dan berusaha, Allah akan melorongkan kemudahan. Sekitar Mac 2009, aku pergi mendaftarkan haji untuk isteriku. Gilirannya..tahun 2025. Sekadar mengisi masa lapang, aku minta disemak statusku kerana merasakan aku telah mendaftar. Alangkah terkejutnya apabila dimaklumkan giliranku adalah pada 2009. Jika ingin membawa isteri bersama, sertakan surat rayuan beserta akuan mahram. Aku terus terpaku dan terdiam beberapa ketika seakan tak percaya dengan maklumat itu.

Maha suci Allah yang mempermudahkan urusan apabila ibuku juga mendapat giliran pada 2009 dan ayah tiriku juga mendapat giliran pada 2009. Jadi semuanya kelihatan telah diatur sedemikian indah. Tanpa berlengah kami terus mendaftar untuk mengikuti kursus haji bersiri secara mingguan. Sebelum ke tanah suci, pihak
Tabung Haji melaksanakan dua kali kursus perdana. Pada kursus perdana di Masjid Shah Alam, para jemaah telah diarahkan untuk menjalani simulasi amalan-amalan dalam ibadah haji iaitu tawaf, saie, melontar dan sebagainya. Semasa kursus, aku dan isteri berasa sungguh penat dan kami tak dapat membayangkan apabila benar-benar telah sampai masanya nanti. Benar, selain ilmu haji, persediaan fizikal sangat penting.Selain persediaan ilmu dan fizikal, aku dan isteri perlu juga menyiapkan mental dan emosi apabila memikirkan anakanda yang baru berusia setahun bakal ditinggalkan. Semua ini sedikit menggusarkan, namun berkat kepercayaan dan tawakkal kepada Ilahi, kami gagahkan diri untuk menempuhi semua halangan tersebut.

Meniti Lembaran Di Madinah Al-Munawwarah

Akhirnya, masanya pun tiba.Tarikh 26 Oktober 2009, aku dan isteri bertolak dari Kompleks Haji Kelana Jaya. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar walaupun penerbangan tertunda hampir tiga jam dan kami terpaksa menunggu di KLIA pada waktu insan-insan lain enak dibuai mimpi dalam kesyahduan malam. Kami tiba di Lapangan Terbang Madinantul Hujjaj di Madinah setelah menempuh perjalanan sembilan jam menaiki pesawat Saudi Airlines. Selama lapan hari diperuntukan bagi jemaah di Madinah. Masa yang ada diluangkan untuk ziarah sekitar Madinah dan mengabdikan diri pada-Nya di Masjid Nabawi khususnya memanjatkan doa di Raudhah yang merupakan taman di antara taman-taman syurga mengikut mafhum dari hadith Rasulullah. Selain itu, ada jugalah agenda membeli-belah(tapi bukan agenda utama ya..awas jangan sampai tergoda). Ramai menyarankan jika mahu membeli belah, elok dibeli di Madinah berbanding Mekah kerana penjualnya lebih bersopan santun dan pilihan juga lebih banyak dan menarik. Kami lebih tertumpu memborong kurma dan sedikit cenderamata buat yang ada di tanahair.

Tiada amalan haji di Madinah sekadar ziarah demi menghormati jenazah Rasulullah yg mulia yg dimaqamkan di sini. Selain itu, perkuburan Baqi’ yang menghimpunkan ribuan syuhada’, para sahabat dan isteri-isteri Rasulullah juga tempatnya di Madinah berdekatan Masjid Nabawi. Ziarah ke perkuburan Uhud juga cukup menyentuh hati apabila mengenangkan susah payah para sahabat berjuang di
medan perang demi menegakkan kalimah Allah. Selain itu, tempat menarik lain adalah Masjid Quba’ iaitu masjid pertama dibina Rasulullah apabila memasuki Madinah dan Masjid Qiblatain tempat turunnya wahyu mengarahkan perpindahan kiblat umat Islam dari Masjidil Aqsa ke Kaabah di Makkah.

Setelah lapan hari, tibalah masanya untuk menuju ke Makkah. Sebelum meninggalkan
Madinah, semua jamaah diminta membuat ziarah wada’ atau salam selamat tinggal di maqam Rasulullah. Perasaan sebak tidak dapat dibendung kerana memikirkan mungkin itulah kali terakhir berkunjung ke situ andai usia tidak dipanjangkan.Sebagai persediaan untuk melaksanakan umrah wajib, semua jemaah telah siap berihram dari Madinah lagi. Perasaan bercampur baur antara sedih meninggalkan Madinah yang sangat menenangkan, gentar untuk mengunjungi rumah Allah dan rasa bimbang dengan apa yang bakal berlaku nanti. Namun laungan talbiah sepanjang perjalanan serta doa-doa yang tidak putus dipanjatkan dapat menenangkan gelisah di dalam jiwa.


Di Makkah Al-Mukarromah

Jarak lebih kurang 400+ kilometer diharungi dalam tempoh lebih kurang lapan jam dicampur dengan kesesakan dan pemeriksaan di checkpoint sebelum memasuki Makkah. Sampai sahaja tiba di Makkah, pihak Tabung Haji menyarankan agar jemaah berehat dan umrah hanya akan dibuat keesokan harinya. Namun, berkat tunjuk ajar dari ibu yang telah berpengalaman, aku dan isteri melaksanakan umrah wajib kami malam itu juga. Walaupun penat, namun kami sangat berpuas hati kerana waktu awal pagi ketika itu belum ramai jamaah di Kaabah lantas memudahkan urusan tawaf dan saie serta penghayatan juga lebih baik. Pengalaman pertama melihat kaabah sukar diungkap dengan kata-kata. Rasa takjub dan sungguh kerdil diri ini di hadapan binaan teragung itu.

Kami tiba di Makkah lebih kurang tiga minggu sebelum hari wuquf. Maka selepas selesai mengerjakan umrah wajib, hari-hari sebelum wuquf dipenuhkan dengan umrah sunat, tawaf sunat dan mengulangkaji tentang
ibadat haji. Bagaimana cara jemaah memenuhkan masa lapang sebelum wuquf dapat menentukan bagaimana menghadapi suasana ibadah haji nanti. Agak mendukacitakan kerana ramai juga jemaah yang tidak mengambil kesempatan untuk berulang ke Masjidil Haram sebaliknya solat dikerjakan di surau hotel. Mungkin tidak mengapa bagi yang uzur, namun ramai juga yang sihat tidak menggunakan kesempatan keemasan beribadah di hadapan kaabah yang mulia. Di samping itu, pergi haji bersama muassasah lazimnya akan berkongsi bilik antara 4-6 orang.Masalah bersama ahli bilik juga satu fenomena yang kadangkala merimaskan. Bayangkan jika anda anti rokok tetapi terpaksa sebilik dengan kaki rokok yang kadangkala tanpa silu merokok di dalam bilik. Sungguh, ia mencabar kesabaranku..tetapi mengenangkan diri dalam usaha mencari redha-Nya, semua itu perlu ditempuhi dengan sabar.

Menelusuri RedhaMu, Haji Mabrur

Akhirnya, masa untuk mengerjakan ibadah haji pun tiba. Tanggal 8 Zulhijjah 1430 kami bergerak menaiki bas dari kota Makkah ke Arafah untuk berwuquf pada 9 Zulhijjah. Suatu keajaiban yang jarang berlaku apabila kota Makkah dilimpahi hujan lebat dan di sesetengah tempat berlaku banjir kilat. Namun perjalanan kami ke Arafah lancar. Walau bagaimanapun, cabaran buat jemaah apabila tiba di khemah Arafah suasananya ibarat padang yang becak. Suasana yang tidak selesa ditambah dengan jumlah jemaah yang ramai dalam satu khemah memberikan satu lagi cabaran buat jemaah. Akibat litar pintas kerana hujan lebat di siang hari, maka bekalan elektrik terputus dan semua jemaah terpaksa bergelap. Memandangkan solat secara jama’ qasar dilaksanakan, maka menjelang jam 6 petang waktu tempatan suasana sudah gelap dan tiada lagi aktiviti dapat dilakukan. Sekali lagi, terpulang kepada jemaah bagaimana mahu memanfaatkan waktu terluang sementara menunggu waktu wuquf pada keesokan hari selepas waktu Zuhur.

Ibadah Wuquf

Waktu wuquf yang tiba selepas zuhur 9 Zulhijjah hingga Maghrib memang dimanfaatkan sepenuhnya oleh para jemaah untuk berdoa dan memohon ampun atas segala dosa. Waktu wuquf berada pada hirarki teratas sebagai waktu paling mustajab berdoa. Selain doa sendiri, doa-doa yang dikirim dari tanahair juga dibacakan sekali dengan harapan Allah memperkenankan permohonan ini. Selepas Maghrib jemaah dibawa ke Muzdalifah untuk mengutip anak batu untuk tujuan melontar pada 10 Zulhijjah nanti. Setelah itu jemaah dibawa ke Mina untuk berkampung selama 3 hari bagi menyempurnakan ibadah melontar. Perjalanan dari khemah di Mina ke tempat melontar yang dinamakan jamrah agak jauh juga dan perlu melalui terowong Muasseim. Jika pembaca masih ingat, pada tahun 1991, berlaku tragedi ngeri yang mengorbankan ribuan jemaah haji di terowong ini. Namun, dengan pengurusan yang lebih baik pada masa ini, kejadian seumpama itu dapat dielakkan. Akan tetapi apabila ada jemaah yang mula menolak-nolak dan tidak sabar, akan berlaku sedikit kekecohan dan apabila itu berlaku, perasaan di hati sangat bimbang mengenangkan kemungkinan tragedi Muasseim berulang. Alhamdulillah, semua urusan di Mina dan ibadah melontar berjalan lancar.

Tawaf & Sa'ie

Seterusnya jemaah akan pulang ke Makkah dan menyempurnakan ibadah tawaf dan sa’ie haji. Apabila telah sempurna kedua-duanya, maka sempurnalah sudah ibadah haji dan secara rasminya bolehlah seseorang jemaah itu bergelar haji atau hajjah. Namun yang pasti, kemabruran ibadah haji yang dikerjakan hanya Allah yang dapat menilainya.

Setelah selesai ibadah haji, kami hanya mempunyai masa lebih kurang seminggu sebelum pulang ke tanah air. Allah menguji apabila selepas pulang dari Mina aku dan isteri diserang demam yang agak teruk. Mujurlah bekalan ubat-ubatan mencukupi dan petuanya jangan dilayan sangat sakit itu, nescaya anda akan cepat sembuh. Akhirnya masa pun tiba untuk kami mengucapkan selamat tinggal. Para jemaah diminta menyempurnakan tawaf wada’ (tawaf selamat tinggal) sebelum berangkat meninggalkan kota Makkah. Sekali lagi perasaan sedih tanpa perlu dipaksa-paksa akan hadir tatkala menyempurnakan tawaf ini. Di dalam doa yang dilafazkan, semua jemaah pastinya berdoa agar diberi kesempatan untuk hadir lagi ke rumah Allah ini, namun jika ini kunjungan terakhir, maka dipohon kepada Allah agar menerima segala amal ibadat yang dilakukan.

Sepanjang berada di Makkah, peristiwa paling tidak dapat dilupakan adalah apabila seorang jemaah di bilik sebelahku meninggal dunia sebelum sempat menyempurnakan ibadah haji. Sangat sebak mengenangkan isteri arwah yang datang bersama suami namun bakal pulang sebagai seorang balu. Semua itu menginsafkan aku bahawa Allah maha berkuasa atas segala sesuatu dan hidup kita di atas muka bumi ini akan berakhir bila-bila masa sahaja.

Menggalas Haji & Hajjah

Akhirnya haramain ku tinggalkan dengan memori dan kenangan yang sangat manis. Pulang ke tanahair, cabarannya lebih besar apabila orang mula memberi harapan besar dengan gelaran haji yang dipikul. Tapi aku sendiri cuba sedaya upaya dan tidak terlalu memaksa diri untuk menjadi sempurna. Pokoknya semua yang perubahan yang dilakukan harus ikhlas kerana Allah bukan untuk memenuhi kehendak manusia. Benar tak semua pengalaman di sana yang baik-baik sahaja, namun semua pengalaman yang tidak berapa baik itu kuanggap cabaran untuk mencari keredhaan-Nya. Saya memohon ampun dari Allah S.W.T. dan mohon dijauhkan dari sifat riak atau menunjuk-nunjuk dengan tulisan ini. Saya hanya berkongsi pengalaman moga-moga ada manfaat dan memberi galakan kepada pembaca untuk turut mengejar peluang mengerjakan ibadah haji. Kembara Haramain 2009/1430H sesungguhnya BUKAN KEMBARA BIASA.

Masjid Nabawi As-Syarif..sangat indah pemandangan pada waktu malam

"Kawasan antara rumahku dan mimbarku adalah taman di antara taman-taman syurga". Papan tanda di hadapan Raudhah yang menjadi rebutan jemaah untuk solat, munajat dan berdoa

Perkuburan Baqi' yang luas, saujana mata memandang. Tempat permakaman para sahabat termasuk isteri-isteri Rasulullah

Pintu keluar dari maqam Rasulullah. Jemaah sentiasa penuh di sini

Di Bir Ali tempat miqat untuk niat ihram dari Madinah

Selepas selesai mengerjakan umrah wajib. Luckily org belum ramai masa ni

Ni belum maksimum lagi. Tawaf selepas Asar adalah masa yang paling ramai umat

Di airport Jeddah sebelum balik. Tak ada mood nak shopping ke, atau bergambar dah masa ni. Terbayang Uwais je

Sekian.

********************

Semoga tulisan yang dikongsi oleh Hj Firdaus dan Hajjah Wan Siti Fatimah ini akan lebih memperkemaskan lagi niat kita untuk menunaikan ibadah haji terutamanya pada usia muda, insyaAllah.

Terima kasih atas perkongsian yang sangat bermakna ini.

moderator

Rabu, 17 Mac 2010

Perutusan Pengenalan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

I - Muqaddimah

Hari ini 17 Mac 2010, genap 26 hari saya di lantik menjadi Presiden Generasi Dynamic (gD.org) yang menjadi sebuah institusi kebanggaan sahabat-sahabat sekalian. gD sememangnya sarat dengan seribu satu sejarah dan inspirasi murni sekumpulan anak muda yang inginkan sebuah masyarakat baru dengan identiti yang berasaskan sifat kehambaan dan kepatuhan kepada Tuhan yang Esa.

Seawal minggu pertama menjadi Presiden, saya di follow-up bertubi-tubi oleh bekas Timbalan Pengerusi Dynamic untuk melakar perutusan dan sedikit kalam kasih sayang kepada sekalian keluarga gD yang ternanti-nantikan keputusan AGM tempoh hari. Banyak alasan yang saya berikan. Yang paling utama, sebenarnya saya tidak mampu dan tidak bersedia untuk memimpin gD.

Namun ia tidak mungkin meng’U-turn’kan keputusan yang telah dibuat dalam AGM tempoh hari. Kita telah buat keputusan yang terbaik secara Jamai’e, moga-moga ada barakahnya. Tidak seperti sebahagian pemimpin politik tanah air yang mahu menegakkan pandangan peribadi semata-mata sekalipun sesuatu keputusan telah dibincangkan dan diputuskan secara syura. Sikap mementingkan diri hanya akan merosakkan organisasi.

II - Sorotan Sejarah Agung

Menyorot seketika memori ketika AGM yang lalu. 4 orang calon Presiden gD telah dicadangkan. Sahabat Hafiszi, Fadzli Fauzi, Hisommuddin dan saya sebagai calon terakhir. Pemilihan calon presiden pasti dipengaruhi oleh pola pemikiran ahli terhadap masa depan gD. Sebahagian ahli berpandangan mahu mengekalkan orientasi gD seperti sedia ada. Sebahagian ahli mahu gD dengan angin baru dari monsun timur laut dan sebahagian lagi mahu gD dengan sentuhan orang lama.

Walaubagaimanapun, era kepimpinan Ust Hafiszi telah mengangkat gD ke satu platform baru dengan orientasi gD sebagai sebuah organisasi yang hampir dan mesra dengan masyarakat. Saya mengalungkan sebuah penghargaan dan tahniah kepada sahabat-sahabat pimpinan lepas atas usaha gigih mereka dan pimpinan-pimpinan terdahulu yang sabar melakar corak dan perjalanan gD.

Bermula dari era Sdr Hisommuddin Bakar, Cikgu Zulhilmi Harun, Kapt Azizan, saya, Ust. Izwan Yusof, CM Hafiszi dan kini giliran saya kembali, gD yang suatu ketika dahulu dikenali sebagai Syabab tidak mampu berdiri tanpa dokongan dan sikap bertanggungjawab seluruh ahli keluarga ini.

Maafkan saya kerana tidak menyenaraikan nama timbalan-timbalan pengerusi yang nyata banyak membantu. Tapi yang saya pasti ingat adalah timbalan semasa saya menjadi pengerusi suatu ketika dahulu. Orangnya sangat rajin mengingatkan pengerusinya supaya mengadakan mesyuarat berkala. Alhamdulillah memimpin Dynamic ketika itu menjadikan kami lebih mengenali antara satu sama lain. Takdir Allah, kami disatukan sebagai pasangan suami isteri, alhamdulillah. Saya pasti, saya akan di follow-up dengan lebih kerap lagi selepas daripada ini.

III - Meneladani Contoh Yang Baik

Baru-baru ini saya berkesempatan ke negara matahari terbit atas urusan lawatan ke kilang NEC. 4 hari bersuai kenal dengan sebahagian cara hidup orang Jepun memahat beberapa pengajaran dan perbandingan dengan kehidupan masyarakat kita di Malaysia. Jepun sebuah negara maju dan Malaysia sebuah negara membangun. Kita tinggal 10 tahun untuk menuju wawasan 2020 sebagai sebuah negara maju. Kalau nak dibandingkan pembangunan infrastruktur dan kemewahan gaya hidup, pada penilaian saya Jepun ketinggalan di belakang Malaysia. Namun sekiranya sikap dan pemikiran yang menjadi perbandingan, saya khuatir 10 tahun tidak mampu mengubah pemikiran dan sikap majoriti rakyat Malaysia untuk setanding dengan Jepun hari ini. Cukup untuk saya kemukan satu contoh, di bandar Tokyo mereka tidak dibenarkan merokok di ruang pejalan kaki. Mereka hanya merokok di kawasan yang ditentukan sahaja. Sukar mencari orang yang melanggar arahan tersebut.

Cuaca bersalji di Stesyen Pertama Gunung Fuji (as a style of rotation)

Sarapan pagi bersama delegasi lawatan (TIM SAKATA, PERNEC, ZETTA, UPSI & NEC)

Dihadapan Salah Sebuah Muzium Di Bandar Ichinoseki

Contoh lain di bandar Tokyo jarang-jarang kita temui ialah pengawal keselamatan di pejabat-pejabat mahupun kedai-kedai. Tidak seperti kita di Malaysia, di dalam Masjid pun terpampang jelas amaran ‘AWAS PENCURI’. Semoga kita mengambil pengajaran daripada apa yang baik yang menjadi amalan dan cara hidup masyarakat Jepun. Kita akan menjadi lebih celik apabila kita keluar daripada kepompong masyarakat sendiri untuk belajar dan mentafsir masyarakat luar. Itu sedikit buah tangan saya dari Jepun buat sahabat-sahabat gD. Insyaallah kita bertemu lagi.

Wassalam.

Ahmad Safwan Mohamed Makki